SELAMA ini, tidak pernah tercatat dalam sejarah pemain bola sepak dibawa menaiki kereta perisai ke stadium. Bagaimanapun, ia berlaku pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF pusingan kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Rabu lalu seolah-olah skuad Malaysia menuju ke medan perang.
“Kami menaiki kereta perisai ke stadium. Suasana amat berlainan sekali seolah-olah mahu pergi berperang. Tetapi mental kami kuat dan tidak tunduk kepada tekanan,” kata ketua pasukan, Safiq Rahim menceritakan pengalaman pemain menaiki kereta perisai selepas Malaysia mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2.
Lima kereta perisai ‘Baracuda’ disediakan untuk membawa skuad negara ke stadium bagi menjamin keselamatan mereka berikutan ancaman segelintir penyokong Indonesia yang hilang semangat kesukanan.
Walaupun pemain bimbang dengan keselamatan, satu perkara yang perlu kita tabik ialah kekuatan mental mereka amat tinggi dan ini terbukti apabila mampu menyerap tekanan dalam perlawanan akhir pusingan kedua itu walaupun tewas 2-1.
Tanpa kekuatan mental kita percaya pintu gol Malaysia boleh dibolosi banyak gol berikutan asakan pasukan lawan yang mendapat sokongan 95,000 penyokong sejak awal permainan.
Apa pun menggunakan
kereta perisai untuk membawa skuad negara adalah
sesuatu yang memalukan Indonesia di mata dunia kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Mungkin selepas insiden itu,
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berfikir dua kali untuk memilih negara berkenaan sebagai tuan rumah berikutan tindak-tanduk liar penyokong mereka.
Mengapa terjadi demikian? Semuanya berpunca daripada
provokasi melampau dan pelbagai
cerita yang tidak masuk akal disiarkan oleh sebahagian
media cetak dan elektronik Indonesia menjelang perlawanan akhir itu.
Ada pengamal media negara berkenaan
mengetepikan etika kewartawanan tanpa langsung memikirkan kesan akibat tindakan mereka menyiarkan berita provokasi itu. Matlamat mereka hanya satu,
memastikan kemenangan Sang Garuda. Ini jelas mempengaruhi sebahagian besar
penyokong mereka hingga tidak menghormati langsung pasukan lawan.
Ramai penyokong mempersendakan lagu Negaraku, Jalur Gemilang dipijak dan dibakar, menggunakan kata-kata kesat seperti Ganyang Malaysia, Malingsia tanpa mengambil kira perasaan rakyat negara jiran yang selama ini dikatakan serumpun.
Sebaliknya,
media Malaysia tidak langsung melatah seperti mereka malah memberikan
laporan profesional sepanjang pertemuan kedua-dua pasukan. Jika media
Malaysia melakukan provokasi kita percaya turut tidak disenangi rakyat
Indonesia.
Pengaruh media juga menyebabkan
segelintir penyokong Indonesia mengibarkan kain rentang menghina K Rajagobal dan skuad negara ketika berlatih di hotel penginapan.
“Saya tidak tahu apa salah kami sehingga dilayan begini. Ketika Indonesia berkunjung ke Kuala Lumpur kami melayan mereka dengan baik,” kata jurulatih yang berjaya menaikkan nama negara selepas memenangi pingat emas
Sukan SEA tahun lalu dan Piala Suzuki, Rabu lalu.
Kebebasan bersuara yang dimiliki selepas zaman pemerintahan Presiden Suharto disalahgunakan hingga etika kewartawanan tidak ada lagi dalam kamus sesetengah media. Perkara paling
menyedihkan ialah mereka
mengaitkan perlawanan bola sepak dengan politik hingga sanggup membangkitkan
kebencian rakyatnya kepada Malaysia.
Provokasi melampau sebahagian media
Indonesia terjadi kerana mereka
tidak boleh menerima kekalahan 3-0 kepada
Malaysia pada perlawanan pusingan pertama lebih-lebih apabila
ia dikaitkan dengan insiden laser.
Walaupun jurulatih Sang Garuda,
Alfred Riedl mengatakan laser bukan punca kekalahan, mereka masih tidak dapat menerimanya.
Ini kerana sebelum perlawanan pusingan pertama media
Indonesia begitu yakin bahawa
Indonesia akan mengalahkan
Malaysia berdasarkan kemenangan 5-1 pada perlawanan pembukaan di tempat sendiri. Kuatnya pengaruh media itu
membuatkan pemain dan pegawai Indonesia seronok dibuai pujian melambung disertai dengan
jemputan makan di sana sini. Perkara ini
diakui oleh Riedl sendiri selepas Sang Garuda dibaham Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil, 26 Disember lalu.
Hakikatnya, Indonesia lebih rela kalah kepada Singapura, Vietnam atau Thailand berbanding Malaysia
kerana mereka bongkak, sombong, cemburu, iri hati dan malu jika kecundang kepada negara serumpun. Provokasi mungkin tidak berlaku jika mereka bertemu negara lain.
Sungguh mengecewakan.
Wahai media cetak dan elektronik Indonesia termasuk “akhbar nyamuk” belajarlah menerima kekalahan kerana ia sudah menjadi adat pertandingan ada kalah dan menang.
Yang penting mencari
kelemahan sendiri bukan menutup kekalahan dengan
menuding jari kepada orang lain. Malaysia yang kalah 5-1 di tangan Sang Garuda menerimanya dengan lapang dada kerana kelemahan sendiri tanpa menyalahkan orang lain.
Ubahlah mentaliti anda. Belajarlah menulis laporan secara rasional bukan atas dasar cemburu atau marah bak kata pepatah marahkan nyamuk kelambu dibakar. Di mana etika kewartawanan yang diamalkan selama ini?
Sebagai pengamal media kita tidak boleh memikirkan sensasi semata-mata sebaliknya harus mendidik pembaca kepada perkara positif, bukan mengajar mereka menjadi warga negara mentaliti kelas tiga.
Kebebasan bersuara bukan tiket untuk melaporkan sesuatu perkara mengikut perasaan. Ia perlu berlandaskan fakta dan bukti hingga dihormati orang lain. Apa gunanya kebebasan bersuara jika rakyat menjadi huru-hara hingga tidak boleh berfikir secara rasional dalam menghadapi sesuatu perkara.
Penulis Pengarang Eksekutif (Rencana) Harian Metro/Metro Ahad http://www.hmetro.com.my/myMetro/Section/index_html?section=Setempat