PETALING JAYA: Selain berazam mengembangkan kerjaya seninya, penyanyi Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 26, turut mengaku akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini.
Bagaimanapun, kata Tomok dia sendiri akan mengumumkan perkara tersebut apabila sudah bersedia.
“Ya, Insya-Allah, saya sedang merancang untuk ke arah itu, namun buat masa ini saya masih belum bersedia sepenuhnya dan banyak perkara yang perlu diuruskan lagi.
“Bila sampai masanya nanti saya berjanji untuk umumkan perkara itu dan tidak akan merahsiakannya kepada orang ramai,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
mStar Online difahamkan Tomok bakal mendirikan rumah tangga pada awal Julai ini dengan seorang wanita berusia 31 tahun.
Wanita yang dikenali sebagai Ayu itu bertugas sebagai pramugari di salah sebuah syarikat penerbangan tempatan dan kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, juara program realiti One In a Million (OIAM) ini masih belum bersedia menceritakan mengenai persiapan yang dilakukan.
“Setakat ini semua dalam perancangan dan masih awal untuk menceritakan persiapan perkahwinan kami. Dia juga masih belum bersedia untuk diperkenalkan kepada peminat,” katanya.
Dalam pada itu, Tomok yang baru sahaja melancarkan album terbarunya hujung tahun lalu juga bakal keluar dengan filem pertamanya Mantera pertengahan tahun ini.
No comments:
Post a Comment