Share Musicc Lovers

Share Musicc Chat Box

Suggest Song Here|Chatting|Report Broken Link|

online counter

SHARE MUSICC WIDGET!

Nuffnang Ads

Wanita Merokok, Mengapa?

TERJEBAK...kebanyakan wanita menjadi perokok selepas berjinak dengan menghisap shisha.

ISU merokok di kalangan wanita dan remaja sering dijadikan tajuk utama dalam kempen mengurangkan tabiat merokok di kalangan masyarakat Malaysia.
Walau sekerap mana pun kempen ini dijalankan, masyarakat negara ini seakan tidak peduli dengan kesan jangka panjang pada kesihatan mereka, malah makin ramai yang seolah-olah bangga menunjukkan bahawa dia seorang perokok.

Berdasarkan fakta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), separuh daripada penduduk dunia yang merokok secara berterusan setiap hari - dianggarkan lebih 650 juta orang - meninggal dunia berpunca daripada tembakau.
KERANA GAYA...wanita merokok kerana dikatakan mengikut aliran masa.

Lebih mengejutkan apabila ribuan daripada jutaan itu yang langsung tidak menyentuh rokok, mati disebabkan oleh asap rokok yang dihisap oleh orang yang berada di sekeliling mereka.

Kanak-kanak yang terdedah kepada perokok berdepan risiko tinggi dengan kematian mendadak selain mudah mendapat jangkitan pernafasan akut, masalah pendengaran dan lelah.

Orang dewasa pula terdedah kepada kesan pembalikan mengejut pada sistem kardiovaskular dan menjadi punca serangan jantung, barah paru-paru dan meningkatkan tekanan darah tinggi.
Wanita yang merokok juga sukar mendapatkan anak, mengalami kemandulan dan andai berpeluang mengandung, bayi yang dikandung itu berisiko cacat mental atau fizikal.

Di Malaysia, dianggarkan hampir lima juga perokok pada 2007 yang mana sebahagiannya adalah wanita. Jelas sekali jumlah itu makin meningkat tahun demi tahun hingga kematian di Malaysia yang berpunca daripada merokok dicatatkan sekitar 10,000 orang setiap tahun.
Bagi lelaki, merokok dikatakan simbol kejantanan dan rokok turut digunakan bagi membantu meredakan tekanan yang mereka hadapi. Bagaimanapun, wanita yang merokok mengatakan mereka lebih kepada mengikut aliran terkini dan menganggap ia perkara yang glamor untuk dilakukan.

Seperti kata Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan PrimaNora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, disebabkan faktor glamor yang sering dikaitkan dengan merokok, ramai wanita seakan 'buta' kepada risiko kesihatan yang akan mereka hadapi.

"Kini, makin ramai wanita memulakan langkah merokok dengan menghisap shisha yang mudah didapati di restoran seluruh Malaysia.

"Ketika menjalankan sesi kaunseling bersama beberapa wanita muda baru-baru ini, mereka menyangka shisha itu lebih selamat sedangkan ia sama bahaya seperti rokok walaupun shisha mempunyai takungan air sebagai 'penapis' nikotin.

"Dengan harga murah, ada antaranya di bawah RM10, mereka saling berkongsi sesama rakan dan mula menjadikannya sebagai tabiat hingga akhirnya beralih kepada rokok kerana ingin beralih kepada sesuatu yang berbeza," ujar Dr Nor Ashikin.

Tambahnya, statistik menunjukkan lebih ramai wanita yang terdedah kepada bahaya merokok berbanding lelaki. Secara puratanya wanita akan hilang 15 tahun daripada kehidupannya berbanding 13 tahun untuk lelaki.

"Merokok juga memendekkan hayat seseorang wanita sehingga enam minit sehari. Jadi, bayangkan berapa banyak hari yang terbuang dalam jangka hayat mereka andai sukar membuang tabiat ini," katanya.

Selain faktor glamor, ada juga wanita mengatakan mereka mula merokok kerana tekanan perasaan, terpengaruh dengan pujukan rakan dan bagi menghilangkan kebosanan.

"Ya, merokok boleh membuatkan fikiran mereka tenang dalam 10 ke 15 minit, tetapi itu tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana tidak berbaloi menggadai nyawa untuk masa yang singkat itu," tegasnya.

Justeru, banyak cara yang boleh membantu mereka meninggalkan tabiat buruk itu antaranya mengurangkan pengambilan rokok dalam sehari, menjalani sesi rawatan akupuntur khusus untuk mengurangkan keinginan merokok dan terkini, menggunakan tampalan nikotin pada tubuh.

"Kajian menunjukkan bahawa menggunakan tampalan nikotin itu dapat membantu serta memudahkan proses berhenti merokok dan kaedah ini banyak digunakan di negara barat.

"Di Malaysia, masih ramai yang kurang pasti dengan penggunaannya selain dikatakan mahal iaitu antara RM50 ke RM80 sekotak bagi lima tampalan," katanya.

Dr Nor Ashikin menjelaskan, tampalan nikotin ini bertindak sebagai terapi gantian nikotin (NRT) bagi mengurangkan ketagihan merokok dan biasanya ia ditampal di bahagian lengan.

"Nikotin akan dibebaskan ke dalam tubuh menerusi kulit tapi dalam jumlah yang sedikit bagi mengelakkan pengguna mengalami kecelaruan fizikal dan mental susulan berhenti merokok.

"Pada awal proses, pengguna akan berasa sakit kepala, mual, tubuh rasa tidak selesa, sakit perut, sukar tidur dan kurang selera makan.

"Ia simptom yang sama akan mereka alami apabila berhenti merokok secara biasa dan tidak semata-mata berpunca daripada tampalan nikotin ini.

"Tampalan nikotin ini sebenarnya berfungsi mengawal pengambilan nikotin dalam sehari dan kandungan di dalamnya makin lama makin sedikit hingga pengguna akhirnya berhenti menggunakannya selepas tidak lagi mengalami simptom yang tidak selesa itu," katanya.

Apapun, ujar Dr Nor Ashikin, pengguna perlu merujuk dulu kepada doktor atau pihak farmasi sebelum menggunakan apa jua alat NRT antaranya gula-gula getah nikotin, gula-gula lozeng, semburan nikotin, pil serta tampalan nikotin seperti ini.

"Tidak kira sama ada menggunakan tampalan nikotin atau apa saja alat bantuan NRT, pengguna perlu diingatkan bahawa ia bukan penyelesaian mutlak kepada ketagihan merokok yang mereka alami.

"Ia hanya bahan bantuan yang memudahkan usaha untuk berhenti merokok. Kejayaan atau kegagalan perokok dalam usaha menghentikan tabiat buruk itu semuanya bergantung kepada diri masing-masing," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...